Thursday, November 27, 2008

Ketibaan Kambing & Bebiri

20 November 2008 sejumlah besar (hampir 1500 ekor) kambing & bebiri telah tiba terus dari Australia.

Penerbangan menggunakan pesawat MASKargo tiba pada jam 2.30 pagi.

Inilah sebahagian stok kambing dan bebiri yang akan dipasarkan untuk memenuhi permintaan sempena Idul Adha yang akan kunjung tiba 3 minggu lagi, bagi umat islam melaksanakan ibadah korban


Patutlah kerajaan Malaysia amat menggalakkan program pembiakan kambing dijalankan secara domestik, supaya aliran keluar wang keluar negara dapat dikurangkan. Banyaklah duit kita yang mengalir ke Australia jika hampir setiap 2 minggu MASKargo membawa masuk penuh satu pesawat kambing dari sana.

Saya sendiri tidak dapat memenuhi permintaan semasa dengan hanya bergantung kepada pengeluaran kambing & bebiri pembiakan tempatan.

Tapi, semua tu bukan saya punya. Saya punya 50 ekor sahaja. Lagi 2 minggu ada masuk lagi.
KALAU NAK MEMBUAT TEMPAHAN SILA HUBUNGI SAYA TERUS DI TALIAN 013-9843949 (Haji Azree).

Friday, September 19, 2008

Kambing Induk Pejantan Boer


Inilah dia pejantan induk boer kami dari Australia

Monday, July 14, 2008

Stok Lembu

Kengkawan bagitau...uploadlah gambar lembu pulak, asyik kambing je, boleh bakal2 pelanggan tengok dulu sebelum pegi kandang buat lawatan dan tempahan.

Sebenarnya belum nak tunjuk lagi sebab stok lembu belum sampai semua. Tetapi oleh kerana dah ada beberapa pelanggan tetap bertanya dan berminat untuk membuat tempahan awal. Maka kita uploadlah dulu gambar sebahagian lembu yang ada.

Untuk pengunjung yang baru melawati blog ini. Sebagai makluman, Selain menternak baka kambing boer & jamnapari, Tanjung Farm juga menternak lembu daging. Yang mana Tanjung Farm bersedia untuk membekalkan lembu daging segar untuk tujuan korban, akikah dan juga kenduri serta majlis keraian lain. Selain itu juga untuk memudahkan pelanggan, perkhidmatan sembelihan, lapahan dan pemotongan daging serta penghantaran juga disediakan dengan kos yang minimal.

Lembu diternak secara:
1- Fidlot didalam kandang
2- Di ikat didalam ladang sawit (sebab kandang tak muat)

Makanan yang diberikan ialah dari variasi:
1- Rumput napier segar
2- Silaj napier
3- Daun keledek
4- PKC (Palm Kernel Cake)

Anak-anak ku....

Terkonang semaso dulu......
Pantang cuti sekolah hujung minggu atau cuti penggal, pasti ada banyak aktiviti luaran yang akan dibuat. Seperti main combat, melastik burung, menjerat, main layang2, memancing, mandi parit dll.

itulah keriangan semasa kanak-kanak. Sekarang keriangan itu dapat dilihat kat anak-anak kita pulak. Nak di marah dan tegur kelasakan mereka. Nenek dia pula cakap "ngko dulu kecik-kecik cam tu lah perangainya"

Hakimi, Humairah, Hanif & Darwish sedang memburu puyu parit di depan rumah nenek mereka kat Tanjung Sepat. Menggunakan joran pelepah sawit dan umpan ulat je. (set joran yang dibelikan, diaorang tak nak pakai)

Sementara tu aku melayan kerenah kambing dan lembu kat kandang.

Friday, May 30, 2008

Lagi.... Liputan Akhbar

Liputan akhbar aktiviti pertanian Tanjung Farm dipaparkan diakhbar.

Maklumat yang disampaikan boleh digunakan untuk manfaat bersama.

Moga ia juga boleh menyuntik dan menyemai semangat orang lain untuk menjadikan pertanian satu perniagaan.



Nota: Terima kasih sahabatku Iza Shahril.....

Sunday, May 25, 2008

Rumput Napier

Rumput napier taiwan adalah salah satu diet makanan haiwan ruminan yang terbaik kerana mengandungi fiber dan nutrisi yang tinggi.

Di Tanjung Farm, rumput napier adalah sajian utama yang akan diberikan kepada kambing dan lembu yang diternak. Sajian lain yang didalam variasi makan tersebut ialah daun keledek, rumput kekacang, rumput laut serta daun sawit.
Rumput napier yang disabit di ladang akan dibawa balik ke kandang untuk proses pemotongan. Proses pemotongan menggunakan mesin akan mengecilkan saiz rumput tersebut dan memudahkan lagi kambing dan lembu memakannya.
Tanaman napier seluas 2 ekar pada masa ini perlu ditambah sejajar dengan pelan pembesaran ternakan kami pada masa terdekat ini. Beberapa tapak telah dikenal pasti akan diusahakan bagi pertambahan tersebut.
Sehari sekali juga kambing dan lembu akan diberi makan "pellet" yang mengandungi zat dan khasiat tambahan agar kambing dan lembu tersebut lebih sihat dan mempunyai daya tahan tubuh yang lebih tinggi.

Selain daripada itu untuk meningkatkan kandungan mineral dalam daging, garam mineral atau garam bukit juga dihidangkan untuk dijilat pada bila-bila masa.

Monday, May 19, 2008

Tuaian keledek

Petang Isnin 19 Mei 2008, pembeli membuat panggilan telefon menghendakkan keledek untuk diambil esok paginya.
Demi memenuhi permintaan pelanggan, pekerja dikerahkan juga pada suram petang jam 6 untuk membuat penuaian keledek.
Kerja-kerja penuaian dijalankan dengan segera untuk mengelakkan kegelapan malam yang akan mengganggu penglihatan.

Bemula dengan mencabut ubi keledek matang, kemudian keledek dileraikan dari tangkainya, seterusnya batas digali lagi untuk memeriksa mungkin keledek masih tertinggal didalam batas semasa proses pencabutan. Ketika itu juga kualiti keledek diperiksa, yang mana keledek rosak akan ditinggalkan manakala keledek yang bermutu sahaja akan di ambil. Setelah itu keledek dipindahkan ke dalam bekas plastik dan diikat supaya ia tidak terlerai atau terbungkar semasa proses pengangkutan dan penghantaran ke pelanggan.

Dalam tempoh 1 jam sahaja, 200 kg keledek dapat dituai, syukur alhamdulillah permintaan pelanggan dapat dipenuhi dan disediakan.

Seandainya anda menikmati keledek goreng atau kuih karipap berintikan keledek atau menjamah kuih keria atau apa-apa makanan berorientasikan keledek atau menggunakan keledek. Mungkin sumber keledek tersebut terhasil dari ladang kami.
Anda tidak perlu risau kerana kami mengamalkan penanaman yang berhemah serta menggunakan variasi baja organik dari tinja kambing & lembu yang telah dikomposkan.

Tuesday, April 29, 2008

Pelawat & Pengunjung

Alhamdullilah, Tanjung Farm sering memenerima lawatan dan kunjungan luar [samada agensi kerajaan, syarikat perniagaan dan orang perseorangan] yang membuat lawatan untuk meninjau dan berkongsi maklumat berkenaan pertanian dan penternakan.

Moga pengetahuan yang didapati dan dikongsikan dapat memberi manfaat dan faedah kepada semua.

Suatu masa nanti, mungkin mereka akan menjadi pelanggan kami pula.

Sunday, April 20, 2008

Kandang Kambing # 3

Perancangan strategik perkembangan Tanjung Farm berjalan lancar. Pengasingan baka kambing boer & jamnapari perlu di laksanakan agar pembiak bakaan kambing boleh dijalankan dengan lebih teratur, sistematik serta terkawal.

Perlaksanaan pelan pembinaan kandang kambing # 3 bermula pada Jun 2007 dan siap dalam tempoh 21 hari. Bermula dari kerja-kerja tambunan tanah, ke pembinaan struktur tiang dan kandang, kerja-kerja infrastruktur lain, sehinggalah baka jamnapari dibawa masuk.

Sememangnya pengalaman itu adalah proses pembelajaran dan kematangan, kami telah berjaya mengurangkan kos pembinaan kambing dengan penggunaan bahan-bahan yang lebih sesuai dan praktikal serta menjimatkan.

Selaras dengan konsep penternakan yang dipilih iaitu pembiakan baka dan jualan daging segar.
Kandang # 1 dipenuhi kambing dan bebiri untuk pasaran daging segar bagi memenuhi permintaan dari pengguna yang ingin membuat majlis seperti kenduri atau menjalankan ibadah akikah juga korban.
Kandang # 2 akan digunakan sepenuhnya untuk program pembiak bakaan kambing boer.
Manakala kandang # 3 pula adalah untuk program pembiakan kambing jamnapari.

Tuesday, April 15, 2008

Proses Kelahiran Kambing

Tempoh kambing bunting selepas proses pembiakan adalah 5 bulan, pada tempoh waktu itu akan ada beberapa tanda yang boleh dikenal pasti, antaranya ialah berahinye menurun, bahagian perut belah kanan akan membesar, teteknya akan semakin membesar di penghujung bulan ke-5, farajnya akan kemerahan dan berair menandakan waktu kelahiran semakin hampir. Induk kambing akan menunjukkan ketidakselesaan dan akan menyendiri bila saat melahirkan semakin hampir.

Bila tiba saat kelahiran, kambing-kambing lain akan menjarakkan ruang dari kambing induk tersebut untuk memberi lebih keselesaan mungkin, dan ini memudahkan kerja-kerja bantuan diberikan.

Pemerhatian rapi perlu diberikan dalam waktu beranak kerana situasi beranak songsang mungkin boleh berlaku, yang mana bantuan untuk proses kelahiran perlu diberikan oleh "bidan".

Selepas kelahiran beberapa bantuan segera perlu diberikan untuk mencegah kematian kepada anak kambing. Antaranya ialah membersihkan anak kambing, serta bantuan untuk menyusu supaya anak kambing segera mendapat susu awal (kolustrom) dari induk kambing.

Dalam pada masa yang sama, pemerhatian kepada induk kambing juga perlu diteruskan kerana kemungkinan kelahiran itu mungkin lebih dari seekor. Kebiasaannya induk kambing akan melahirkan1-2 anak kambing, kelahiran 3-4 anak kambing jarang berlaku. Seandainya 3-4 kelahiran anak kambing berlaku, bantuan dan pemerhatian lebih perlu dibuat kerana kadar peratusan kelangsungan hidupnya menurun.

Sunday, April 13, 2008

Tuan punya TANJUNG FARM

Tak tau lah!!! apa yang sedang difikirkan dan ditenungkan tu..... RM... RM... RM... kot.

"Tokeh Busat" @ Zulkarnain Painan, abang aku yang banyak bekerja keras untuk memajukan "Tanjung Farm" menjadi salah satu sayap perniagaan pertanian bagi Syarikat Tanjung Unggul Enterprise.

Tanpa komitmennya "Tanjung Farm" mungkin tidak dapat direalisasikan dan menjadi realiti. Operasi seharian "week days" banyak dibawah kendalian, pemantauan dan pengurusannya.

Aku pulak selain sebagai "Strategic Planner" menjadi weekend farmer je, hari kerja biasa banyak buat kerja kat ofis Serdang. Sementara cuti hujung minggu dan kelepasan am aku penuhi dengan aktiviti pengurusan kesihatan kambing dan lembu, mengemas kini rekod, memotong kuku kambing serta kerja-kerja penyelenggaraan kandang, dll.

Kadang2 hari2 biasa kalau sempat, malam2 pun aku jengah kandang gak.

Budak kecik tu anak sulung aku Muhammad Hanif Nazmi, dulu dia takut ngan kambing, la ni kambing yang takut ngan dia.

Thursday, April 10, 2008

Liputan Akhbar

Berita pembiak bakaan boer dan jamnapari yang diusahakan oleh Tanjung Farm di paparkan di akhbar untuk dimanfaatkan oleh semua yang berminat menternak kambing.

Lembu KK

Ini adalah sebahagian lembu KK (Kedah-Kelantan) yang di ternak kebanyakannya untuk pasaran korban.

Sumber bekalan anak lembu yang berumur 14 - 18 bulan ini dibeli dari penternak setempat sekitar Sepang & Kuala Langat.

Lembu ini akan diternak dan di beri makanan secukupnya sehingga aidil adha.

Generasi Pertama BOER

25 ekor baka boer baru sampai ke kandang. Perjalanan jauh hampir 5 jam dari pembekal kami di Batu Pahat.

Alahamdulillah, semuanya selamat. Kambing ini akan direhatkan serta diberi makanan yang secukupnya bersama ramuan minuman istemewa untuk menghilangkan "jet lag"


Baka induk boer "white head" dan "brown head" yang akan dibiak kan untuk penghasilan baka boer.
kambing jantan @ "bandot' nye belum sampai.
Nanti dia dah gersang baru bandot nye dicampurkan.

Sunday, April 6, 2008

Kandang Kambing # 2

Mac 2007 kerja-kerja pembinaan kandang kambing #2 telah dimulakan.
Dengan kandang bertiangkan batu supaya lebih kukuh, kedudukan kandang yang tinggi pula baik untuk kitaran pengudaraan persekitaran serta memenuhi keperluan keselamatan dari sebarang pencerobohan.
Bahagian bawah kandang mengunakan tambunan lapisan batu dan pasir serta campuran sedikit bahan "rahsia". Ini baik untuk mengelakkan bauan "semerbak" dari percampuran tinja dan urine kambing. Teknik ini membolehkan urine kambing terus meresap ke lapisan bawah dan tinja akan cepat kering. Kerja-kerja pemindahan tinja untuk dikomposkan boleh dilakukan setiap minggu.

Kandang # 2 direkabentuk untuk kandang pembiak bakaan kambing boer yang meliputi keperluan bucks pens, breeders pens, breeding pens, nursing pens dan pre-wearness pens.

Kandang #2 digunakan sepenuhnya untuk program pembiak bakaan kambing boer. Sasaran kami adalah untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan terutamanya penternak setempat yang memerlukan baka boer bermutu.

Thursday, April 3, 2008

Jamnapari Cross@kacuk

Antara generasi kumpulan kambing pertama baka kacukan jamnapari yang dihasilkan.

Sebahagian besar antaranya telah dibeli oleh penternak lain yang berminat menceburi aktiviti penternakan kambing.





Antara kumpulan ketigalembu jantan baka kedah-kelantan (kk) yang diternak untuk pasaran korban.

Alhamdulilah, ia telah selamat dikorbankan aidil adha yang lepas oleh sekumpulan hamba Allah dari Serdang.

Wednesday, April 2, 2008

Disini bermula 5......

Ini adalah antara tanaman rumput napier yang di tanam sebagai sumber bekalan makanan utama untuk kambing dan lembu yang diternak. Dengan pusingan 40 hari, rumput napier akan dipotong mengikut batas yang telah ditetapkan. Setelah diproses ia akan dihidangkan 3 hari sekali kepada kambing dan lembu.

Selain daripada rumput napier ini, sumber makanan lain yang digunakan sebagai selangan untuk pembagaian penseleraan ternakan ialah daun keledek, daun kelapa sawit dan rumput laut (panggilan orang tempat aku, orang tempat lain aku tak tau panggil rumput apa dan ia di ambil bukan di tepi laut, rumput ni jenis tutup bumi dengan rumput kekacang di ladang sawit).

Dan semestinya untuk menjadikan agar kambing dan lembu ini lebih sihat dan mempunyai tekstur daging yang baik, makanan tambahan juga disajikan seperti garam mineral serta dedak palet campuran dari sumber soya dan jagung.

Disini bermula 4......

Tanah ayahanda kita orang yang kami "terjah" untuk buat kandang kambing dan lembu. Terima kasih, abah.....

Pokok sawit selain hasil dari tuaian buah, daunnya boleh dimanfaatkan sebagai makanan lembu dan kambing. Ada "orang kata" daun sawit tak sesuai untuk jadi makanan lembu dan kambing, kerana lidinya akan merosakkan perutnya dan menyebabkan kematian. "Aku kata" pulak, selepas pemerhatian berulang-ulang kali mata aku sendiri, Allah SWT dah memang jadikan lembu dan kambing ini ada bijak "kebinatangannya", dia kunyah dan telan daun je, lidi dia tak makan. Malahan lagi daun kelapa sawit ini boleh tahan tinggi juga kandungan seratnya, maka sesuailah ia menjadi salah satu sumber makanan ternakan ruminan.

Disini bermula 3......

Tanaman kontan (keledek, ubi, nenas, keladi & pisang) adalah usaha pertanian tanaman yang dijalankan oleh kami. Bermula dengan hanya 2 ekar pada tahun 1998, kini keseluruhan hampir 30 ekar tanah telah digunakan sebaiknya untuk penghasilan tanaman kontan.

Menerapkan teknik mevariasikan dan menggilirkan jenis tanaman agar kesuburan tanah dioptimumkan, mutu hasil tanaman dapat dikawal agar memenuhi kehendak pelanggan.

Timbul pula persoalan di benak kami...... mengapa daun keledek selepas penuaian tidak digunakan dengan bermanfaat. Bukankah ia sesuai untuk makanan ternakan ruminan lembu & kambing?

Tuesday, April 1, 2008

Disini bermula 2 ......

Dua beradik bergabung tekad menjadikan pertanian suatu perniagaan.

Dengan berkonsepkan "pertanian integrasi", langkah kehadapan untuk menjadi usahawan tani di teruskan dengan penghasilan pelbagai sumber pertanian dari tanaman kelapa sawit, tanaman kontan, penternakan lembu dan kambing serta penghasilan produk hiliran sampingan.

Disini bermula 1 ......

Dari pinggiran tanah sawit milik keluarga di kampung halaman tercinta. Dengan sedikit pengetahuan dan azam yang kukuh. Disokong oleh dorongan kedua ibu bapa serta keluarga.